Semenjak mengenal erti Syawal, anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang,
Noor Neelofa Mohd Noor tidak pernah meraikan perayaan terbesar umat
Islam tersebut di luar daripada tanah tumpah darahnya, Kelantan.
Peredaran masa dan juga kitaran hidup manusia sekaligus mengajak
Neelofa mengambil peluang yang tiba setahun sekali ini dengan menyambut
pagi hening 1 Syawal di lokasi lain buat pertama kali dalam hidup
pengacara ini iaitu di Alor Star, Kedah Darul Aman.
Negeri yang mendapat jolokan jelapang padi ini merupakan kampung
kelahiran daddy Neelofa dan menurut pelakon yang pernah menuntut di
sebuah boarding school di negeri itu, keputusan ini dibuat berikutan
ramai adik beradiknya yang kini telah berumah tangga dan tidak pulang
beraya di Kelantan seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Seingat saya, sebelum ini saya tidak pernah merayakan Aidilfitri luar
daripada Kelantan. Rasa teruja juga beraya di tempat lain dan semua
family telah sebulat suara memilih untuk pulang berhari raya di Alor
Star iaitu kampung daddy saya.
"Adik beradik yang berkahwin semua pulang beraya di rumah mertua jadi
family saya memilih untuk menukar lokasi dan membawa yang masih bujang
seperti saya pulang berhari raya di Alor Star. Teruja juga untuk
merasakan sendiri kesyahduan pagi raya di tempat lain,"ceritanya yang
telah pulang ke Alor Star dua hari sebelum menjelangnya Syawal.
Persiapan Syawal juga hanya ala kadar buat jelitawan Dewi Remaja itu.
"Persiapan saya sederhana sahaja, baju kurung kain kapas untuk
memudahkan pergerakan dan sesuai dengan cuaca yang sangat panas
sekarang. Ada beberapa pasang dan saya ada menempah sepasang baju raya
untuk pagi Syawal dan itu daripada Syaiful Baharim," katanya.
Neelofa juga turut melakar satu lagi catatan dalam perjalananan karier sebagai pelakon pada 8 Ogos lalu.
"8 Ogos bukan sahaja merupakan tarikh semua umat Islam menyambut
Aidilfitri. Ia juga tarikh buat filem Lemak Kampung Santan ditayangkan
di pawagam seluruh negara. Cakap pasal perasaan, sukar untuk digambarkan
kerana rasa macam teruja untuk mengetahui sambutan penonton filem
tempatan terhadap filem itu.
"Dalam masa yang sama takut juga kerana biasalah tidak semua yang kita
buat orang suka. Tetapi saya boleh jamin Lemak Kampung Santan
menampilkan jalan cerita dan penyampaian yang berbeza daripada
filem-filem yang sering dibuat di negara ini.
"Diharapkan Syawal kali ini rezeki saya terutamanya untuk Lemak Kampung
Santan dipermudahkan oleh Allah SWT, amin,"ucap Neelofa mengakhiri
perbualan.